Click Sini:

Sunday, 3 April 2011

BM : Kedah tundukan Kuala Lumpur

Gol minit akhir bantu Kedah menang
Pemain pertahanan Kedah Md Azmi Muslim (Kuning) mengasak Pemain Kuala Lumpur Yong Kuong Yong di dalam perlawanan Liga Super Malaysia yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 2 April 2011. Kedah menang 1-0 ke atas KL.

KUALA LUMPUR - Pasukan pelawat Kedah berjaya mengekalkan rentak kemenangan di dalam dua perlawanan Liga Super berturut-turut setelah berjaya menang tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur malam tadi di Stadium Kuala Lumpur, Cheras.

Setelah berehat selama dua minggu, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi bertenaga dan penuh bersemangat untuk mendapatkan kemenangan. Md Azmi Muslim muncul wira buat skuad sang kenari apabila berjaya menjaringkan satu-satunya gol pada minit terakhir di dalam perlawanan yang disaksikan hampir 2000 orang peminat bola sepak tempatan.

Gol tunggal tersebut hadir selepas berlaku keadaan kelam-kabut di hadapan pintu gol KL yang bermula dari sepakan penjuru, Azmi bijak membaca dan melakukan rembatan tepat ke arah penjuru pintu gol untuk menewaskan penjaga gol Norazlan Razali yang agak liat untuk dibolosi.

Kedah dilihat lebih bernasib baik jika prestasi keseluruhan diukur kerana penguasaan dan peluang yang dicipta oleh KL lebih banyak berbanding anak buah bimbingan Md Radhi Mat Din. "Saya akui kami bernasib baik malam ini. Mujurlah mereka (KL) gagal memanfaatkan peluang pada masa separuh pertama jika tidak ia mungkin mengundang padah buat kami," kata Radhi Mat Din.

Para pemain tuan rumah bermain dengan penuh disiplin serta lebih banyak menguasai perlawanan berbanding Kedah yang seperti hilang persefahaman selepas terlalu lama berehat. Dua percubaan babak separuh masa pertama oleh pemain KL See Kok Luen dan Ahmad Hazwan Bakri hampir menghukum pasukan pelawat Kedah.
Tetapi mujurlah ia tersasar dan sekadar melintasi palang gol yang dikawal Abd Hadi Abd Hamid. Masuk separuh masa kedua, Radhi Mat Din menyedari kelemahan yang terdapat di dalam barisan kesebelasan pemainnya.

Lantas melakukan dua pertukaran penting iaitu membawa masuk Shafizan Hashim dan Azlan Ismail yang dilihat serba sedikit mengubah rentak permainan. "Mereka seperti tidak bermain bola pada separuh masa pertama, banyak kesilapan dan tiada idea di bahagian tengah. "Semasa rehat tadi, saya banyak bercakap dan memberi nasihat kepada pemain untuk memperbaiki aksi pada separuh masa pertama. Mujurlah mereka dapat bangkit dan membuktikan keupayaan sebenar," tambah Radhi yang juga merupakan bekas pemain Kedah.

Ketumpulan dan aksi kurang kreativiti yang dipamerkan oleh anak buah Razip Ismail nyata agak mengecewakan terutamanya apabila banyak peluang keemasan dihadapan gol gagal disudahkan dengan sebaiknya oleh para pemain KL.

Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat permainan dan keputusan ini menyaksikan Kedah mengutip 12 mata untuk berada di tangga keenam. Kedah akan menanti kunjungan Johor FC di dalam perlawanan seterusnya di Stadium Darul Aman pada 5 April ini.

Source: Arena

0 comments:

Post a Comment