MESKIPUN hajatnya membawa skuad Olimpik negara berlatih di Turki Jun depan masih belum diketahui, Ong Kim Swee sekurang-kurangnya sudah mempunyai ‘pelan kedua’ untuk menguji anak buahnya sebelum menghadapi Lubnan pada perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan Sukan Olimpik London 2012.
Ong Kim Swee bersama Arsene Wenger
Ini kerana, beliau dimaklumkan skuad Olimpik Bahrain dan Arab Saudi berkemungkinan besar mahu menjadikan Kuala Lumpur sebagai lokasi latihan pusat mereka Jun ini.
Kim Swee mahu mengambil kesempatan yang terhidang itu untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan itu meskipun sasaran utamanya membawa skuad Olimpik negara menjalani latihan pusat di luar negara pada 8 atau 9 Jun ini sebelum berkunjung ke Beirut.
“Kalau boleh saya mahu mengadakan latihan pusat di Turki kerana cuaca di negara itu lebih kurang sama dengan Lubnan ketika itu dan kemudahan di Turki juga bagus.
“Apabila berada di Turki, saya bercadang mengatur satu perlawanan persahabatan dengan skuad Olimpik Turki namun itu akan ditentukan oleh ejen. Saya akan bertemu pihak pengurusan (Persatuan Bola Sepak Malaysia) Isnin ini untuk membincangkan mengenai perkara ini dan saya harap dapat mengetahui keputusan selewat-lewatnya hujung minggu depan.
“Selain itu, saya mungkin berpeluang mendapat satu perlawanan ujian di sini dengan pasukan Bahrain atau Arab Saudi pada 7 Jun jika kedua-dua pasukan itu menjadikan Kuala Lumpur sebagai pangkalan latihan pusat mereka.
“Bahrain akan menentang Thailand manakala Arab Saudi pula bertemu Vietnam dan mereka sudah pasti mahu melakukan persiapan di sini sebelum perlawanan itu. Kalau ia berlaku senanglah kami untuk mengatur perlawanan,” katanya.
Skuad Olimpik negara akan memulakan latihan pusat 25 Mei ini bagi menghadapi perlawanan pertama dengan Lubnan pada 19 Jun di gelanggang lawan sebelum beraksi di arena sendiri pada 23 Jun.
Pada pusingan pertama, Malaysia menewaskan Pakistan menerusi agregat 2-0 dan jika berjaya melepasi halangan Lubnan, skuad negara akan menempah tiket ke saingan peringkat kumpulan di pusingan ketiga membabitkan 12 pasukan September ini.
Malaysia kali terakhir layak ke temasya sukan terbesar itu pada 1980 di Moscow tetapi kerajaan Malaysia memboikot penyertaan sebagai tanda protes pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.
Sebelum itu, pemain Malaysia beraksi buat kali pertama di Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman.
source: Harian Metro
0 comments:
Post a Comment